Tiada Wang Dan Tempat Untuk Tidur, Ini Kisah Hidup Shah Rukh Khan Sebelum Bergelar Pelakon

0
643

Sebut sahaja Shah Rukh Khan, pasti semua mengenali pelakon yang terkenal dengan filem Kuch Kuch Hota Hai dan Mohabbatein ini. Nama beliau bukan sahaja terkenal di dunia Bollywood malah di persada dunia termasuklah Malaysia. Namun begitu, tidak semua yang tahu tentang kisah hidupnya sebelum bergelar pelakon.

Pelakon Bollywood ini lahir pada 2 November 1965 dan berumur 53 tahun. Shah Rukh Khan telah menamatkan zaman bujang beliau dan berkahwin dengan Gauri Khami. Hasil daripada perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan 3 orang anak. Ayah kepada pelakon, pengarah dan juga pengacara televisyen ini bernama Meer Taj Mohammed manakala ibunya pula bernama Lateef Fatima.

Beliau yang membesar di kejiranan Rajendra Nagar di Delhi ini merupakan seorang pelajar yang cemerlang. Beliau bukan sahaja aktif dalam bidang sukan malah beliau juga menerima anugerah pelajar contoh sekolah iaitu Sword of Honour di sekolahnya, St. Columbus.

Tamat sahaja persekolahan, beliau meneruskan pengajian di Kolej Hansraj dan memperoleh segulung ijazah dalam bidang ekonomi. Kemudian, beliau memilih untuk menyambung pelajaran di Jamia Millia Islamia. Namun begitu, disebabkan minatnya terhadap bidang lakonan, beliau memilih untuk berhenti belajar.

Pada masa yang sama, ayahnya telah meninggal dunia akibat kanser. 10 tahun kemudian, beliau telah dikejutkan pula dengan tragedi malang apabila ibunya turut menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit diabetes.

Kakak kepada Shah Rukh Khan, Shahnaz telah mengalami tekanan perasaan selepas kematian kedua-dua ibu bapa mereka. Shah Rukh Khan menjalankan tanggungjawabnya sebagai abang dan menjaga kakaknya itu sehingga sekarang.

Selepas kematian kedua-dua orang tuanya itu, Shah Rukh Khan tidak mempunyai duit untuk menyara hidup. Beliau memilih untuk bekerja di satu tempat konsert dan dibayar Rs.50 (RM3.40).

“Ketika saya datang ke Mumbai untuk berlakon, saya tiada tempat untuk tidur dan juga tiada wang.” – Shah Rukh Khan

Shah Rukh Khan mula melibatkan diri dalam dunia lakonan dengan melakonkan watak kecil di dalam filem dan drama. Dalam filem lakonannya yang bertajuk Kabhi Haan Kabhi Naa, beliau cuma dibayar RM1700.

Malah, pada hari tayangan filem tersebut, beliau sendiri yang menjual tiket kepada para pengunjung. Ketika itu, perhentian bas menjadi ‘tempat tinggal’ Shah Rukh Khan. Kadang-kadang, beliau yang tidak mempunyai tempat tinggal itu cuma tidur di tepi pantai sahaja.

Segalanya berubah pada tahun 1992. Setelah 5 tahun berhempas-pulas dalam industri perfileman, filem lakonan Shah Rukh Khan iaitu Deewana telah menjadi filem box office. Beliau telah memenangi anugerah Pelakon Baru Terbaik menerusi filem itu.

“Saya berlakon kerana takutkan kemiskinan berbanding dengan minat lakonan.” – Shah Rukh Khan

Beliau tidak memilih dalam melakonkan sesuatu watak. Filem-filem yang ditolak oleh pelakon lain diterima oleh Shah Rukh Khan dengan besar hati dan semua filem yang dilakonkannya menjadi hits.

Kini, pelakon ini dikenali sebagai King Khan dan dicatatkan sebagai pelakon Bollywood paling kaya dalam sejarah. Pada tahun 2016, beliau berada di tangga ke-86 selebriti paling kaya apabila menerima bayaran sebanyak $33 juta (RM145 juta).

Kisah hidup Shah Rukh Khan ini mengajar kita semua bahawa kita tidak boleh takut dengan kegagalan. Ia merupakan sebahagian daripada rencah kehidupan. Apa yang penting, kita tidak boleh berputus asa dalam mengejar impian kita.

 

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda

Sumber: Iluminasi / iamlejen.com