‘Dragon’ Terharu Disapa Agong

0
689

PELAKON terkenal, Adam Corrie Lee mengakui terkejut dan terharu apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenalinya sebagai anak seni.

Adam Corrie ketika dihubungi berkata, dia sama sekali tidak menyangka baginda turut memenuhi permintaannya untuk mengambil gambar bersama.

“Sebenarnya, saya dijemput oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyampaikan puisi sempena sambutan Maal Hijrah dan majlis ini turut dihadiri oleh baginda serta Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

 
 
 
 
 
View this post on Instagram
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Salam Maal Hijrah Tak kiralah, kita bangsa apa pun, warna kulit berbeza, jika kita bersatu hati, saling hormati menghormati, saling bantu membantu dan sebar kasih sayang. . InsyaAllah kita akan hidup aman sejahtera bersama. . Senyum selalu Selalu bersangka baik InsyaAllah hati tenang . #adamcorrie #sambutanmaalhijrah1441h

A post shared by Adam Corrie (@adamcorrielee) on

“Ketika berada di pentas, saya lihat baginda tersenyum melihat saya. Mungkin baginda fikir saya berlakon ‘g@ngster’ tapi berada di pentas untuk memeriahkan sambutan Maal Hijrah di Putrajaya.

“Masya-Allah, tabaraka-Allah. Saya tidak sangka dapat bergambar bersama dengan baginda. Malahan, ketika itu tidak ada yang halang saya pun. Ini adalah pengalaman manis buat saya,” katanya.

Katanya, disebabkan terlalu terkejut, dia juga hanya dapat menjawab pertanyaan baginda selepas diulang pada kali kedua.

“Baginda ada tanya, saya masih berlakon lagi ke. Tetapi, disebabkan terlalu terkejut, saya terdiam dan tidak dapat berkata-kata.

“Baginda ulang soalan sekali lagi dan ketika itu barulah saya jawab yang masih berlakon. Baginda kemudian ucapkan alhamdulillah,” katanya.

Sebelum ini, Adam Corrie Lee Abdullah dipilih sebagai ‘Tokoh Saudara Kita’ peringkat Selangor sempena sambutan Maal Hijrah 1439 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Adam Corrie dipilih menerima anugerah berkenaan atas usaha berterusannya dalam bidang dakwah serta sumbangannya kepada Islam melalui platform badan bukan kerajaan (NGO).

Adam Corrie yang juga Kolumnis akhbar ini berkata, dia tidak pernah menyangka menerima anugerah seperti itu.

“Ini kali pertama saya menerima anugerah ini malah saya tak pernah terfikirpun akan diberi pengiktirafan seperti ini.

“Dalam kerjaya saya aktif melalui pertubuhan ‘Kembara Iman Malaysia’ yang mengadakan program mengerjakan umrah bagi saudara baru yang memiliki pendapatan di bawah RM1,200.

“Selain itu, kita juga mengadakan kelas usrah pada setiap Isnin untuk penggiat seni melalui Persatuan Usrah Fitrah dan saya berharap usaha ini akan berterusan,” katanya yang menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan, trofi,serta pakej mengerjakan umrah.

Anugerah disampaikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang mewakili ayahanda baginda Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sementara itu, bekas pensyarah, Dr Osman Sabran, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Selangor sekali gus menerima wang tunai RM20,000, trofi, sijil penghargaan serta pakej mengerjakan umrah.

Manakala Anugerah Tokoh Keluarga Mithali dirangkul pasangan Mokter Murat dan Salimah Paiman dari Telok Panglima Garang dan Tokoh Aktivis Masyarakat pula dianugerahkan kepada Mahat Tumin.

Anugerah Pertubuhan Dakwah Sukarela diraih Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah).

Masing-masing menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan, trofi Maal Hijrah serta pakej mengerjakan umrah manakala Salimah turut dihadiahkan buku-buku ilmiah.

Kira-kira 2,000 hadir pada majlis itu yang bertemakan ‘Umat Bersatu, Negeri Sejahtera’.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber : Metro