Google doodle istimewa sempena ulang tahun kelahiran Sudirman

0
624

GOOGLE memberi penghormatan kepada penyanyi legenda Malaysia, Allahyarham Sudirman Haji Arshad dengan menyediakan lakaran atau doodle istimewa sempena ulang tahun kelahiran ke-65 penyanyi itu pada Jumaat.

Doodle itu dihasilkan bagi mengenang percapaian dan perjalanan seni Sudirman sebagai penyanyi, penulis, komposer, dan pelakon yang pernah mengangkat nama Malaysia ke pentas dunia.

Google menyenaraikan biografi dan pencapaian cemerlang penyanyi tersebut yang memiliki bakat besar sehingga menyumbang kepada industri seni tanah air.

“Sebelum menjadi salah seorang penghibur popular di Asia, Sudirman bekerja sebagai seorang wartawan dan peguam.

“Kerjayanya melonjak selepas memenangi pertandingan di Bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM), dan namanya mula dikenali di negara jiran iaitu Singapura, Brunei, dan Indonesia.

“Pada 15 April 1986, lebih 100,000 peminat berkumpul di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur menyaksikan persembahannya. Sudirman diangkat menggunakan kren dan menghiburkan ramai peminat tanpa mengira bangsa,” tulis Google.

Sudirman hiburkan peminat semasa persembahan di Jalan Chow Kit, KL.

Penyanyi lagu Salam Terakhir ini dilahirkan di Temerloh, Pahang pada tahun 1954 dan meninggal dunia akibat radang paru-paru pada usia 37.

Antara lagu-lagu popular Sudirman ialah Tanggal 31 Ogos dan Balik Kampung yang kerap dimainkan pada Hari Kemerdekaan Malaysia dan Hari Raya Aidilfitri.

Pada tahun 1989, Sudirman mendapat pujian di Asian Popular Music Awards di Royal Albert Hall, London.

Dia ketika itu menyampaikan lagu A Thousand Million Smiles dan Send In The Clowns sebagai penghormatan kepada Charlie Chaplin.

Persembahan itu membuatkan nama Sudirman terus mekar di persada antarabangsa.

Selain itu, Sudirman juga membawa nama negara sebagai duta nyanyian atau Singing Ambassador yang diiktiraf oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.

Tidak hanya mampu menyanyikan lagu Melayu, Sudirman juga meluaskan jaringan muziknya dengan menyanyikan lagu berbahasa Inggeris, Tamil, Tagalog, Korea dan beberapa dialek Cina.

Selain pelbagai anugerah, nama Sudirman juga disemadikan sebagai nama jalan di kampung halamannya.

“Selamat Hari lahir, Sudirman Haji Arshad!” Kata Google.

The Doodles telah menjadi sebahagian ikon Google, meraikan peristiwa penting termasuk hari ulang tahun individu dan cuti perayaan di sesebuah negara.

Biodata Dato’ Sudirman :

Kelahiran Sudirman bin Arshad
25 Mei 1954
Temerloh, Pahang, Malaya(kini Malaysia)
Meninggal dunia 22 Februari 1992 (umur 37)
Bangsar, Kuala Lumpur, Malaysia
Sebab kematian Radang paru-paru
Mayat dijumpai Bangsar, Kuala Lumpur, Malaysia
Dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh, Pahang, Malaysia
Nama lain Sudir
Pusat pendidikan Universiti Malaya
Pekerjaan
  • Penyanyi
  • Peguam
  • Pelakon
  • Penulis
  • Ahli perniagaan
Tahun aktif 1976–1992
Pasangan Kamariah “Kay” Jamaluddin (k. 1981; c. 1984)
Ibu bapa Dato’ Haji Arshad bin Haji Hassan (bapa) 
Datin Hajah Romlah binti Dahalan (ibu)
Saudara Datin Rodziah Arshad (kakak) 
Razman Azrai Dato’ Zainudin (Atai; anak saudara)
Kerjaya muzik
Genre
  • Irama Malaysia
  • Pop
  • Pop rock
  • R&B
  • Balada
Instrumen Vokal
Syarikat rakaman
Warnada Records
EMI Music Publishing Malaysia Sdn. Bhd. 
EMI (Malaysia) Sdn. Bhd.
Kegiatan berkaitan
  • Zaleha Hamid
  • Sharifah Aini
  • Noorkumalasari

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber: mStar, Wikipedia